Friday, November 20, 2026
HomeBERITAAnjang Aki sudah tiada

Anjang Aki sudah tiada

Pelakon veteran Datuk Baharuddin Omar atau Anjang Aki, 85 meninggal dunia.

Perkara itu disahkan menerusi satu hantaran di Facebook Primadona Fauziah Ahmad Daud sebentar tadi.

Sumber : Facebook Fauziah Ahmad Daud

Untuk rekod, Allahyarham merupakan pelakon teater yang membina nama bersama-sama pelakon handalan lain seperti Rahim Razali, Ismail Hutson dan Rokiah Shafie.

Mewarisi darah seni daripada bapanya yang merupakan seorang pelakon, Allahyarham mula berkecimpung dalam pementasan teater sejak awal tahun 50-an lagi.

Allahyarham pernah terlibat dalam persembahan bersama Persatuan Peseni Kuala Lumpur bagi menyambut kepulangan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dari kota London pada tahun 1955.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah menawarkan Allahyarham berlakon pada tahun 1967 melalui drama “Tanah Pusaka” sebelum mewarnai drama popular seperti “Perajurit Pulang” (1968) dan “Bangsawan” (1970).

Sejak itu Allahyarham menjadi cukup popular di kaca televisyen kerana menghiasi banyak drama di slot Panggung RTM mahupun Slot Pekerti.

Pada tahun 1981, Allahyarham telah dipilih untuk berlakon dalam satu drama bersiri bertajuk “Anjang Aki” yang ditulis oleh Abdul Mutalib Hassan dan diterbitkan oleh RTM di bawah arahan dan terbitan Aziz Abbas.

Drama itu berterusan sehingga beberapa musim dan semenjak itu juga nama Allahyarham begitu sinonim dengan gelaran Anjang Aki.

Allahyarham turut berlakon dalam beberapa filem dan drama seperti Pertarungan Iblis Merah, Jogho, Dia Ibuku, Irisan-irisan Hati dan Buai Laju-laju.

Nama Allahyarham Baharuddin seterusnya tercatat dalam pertandingan Festival Filem Malaysia ke -2 apabila lakonan mantapnya dalam filem Dia Ibuku dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik pada 1981.

Menyifatkan Allahyarham seorang yang professional, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ogy turut berkongsi kenangan indah berlakon bersama menerusi Drama Rumah Kecil Tiang Seribu dan Filem Bayi Tabung Uji.

Warga kerja The Malaya Post mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan golongan
orang-orang yang beriman dan diampunkan segala dosa.

Al Fatihah.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments