Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) hari ini menyampaikan warkah sembah rakyat kepada Duli Yang Amat Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berhubung Sidang Parlimen yang dijadualkan pada 26 Julai ini.
Menurut Presidennya, Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, pihaknya bimbang dengan pelaksanaan Sidang Parlimen berkenaan nanti.
Ia berikutan keadaan penularan pandemik COVID-19 yang serius pada waktu ini.

“Patik dan kepemimpinan organisasi berasa sangat gusar apabila Sidang Parlimen yang dijadualkan pada 26 Julai 2021 akan meningkatkan risiko kes COVID-19 kerana bukan sedikit mereka yang berada di Parlimen kelak.
“Sebagaimana yang diketahui, ketika Darurat bermula 12 Januari 2021, kes Covid adalah sebanyak 3,309, manakala pada hari ini, 8 Julai 2021, jumlah kes meningkat kepada 8,868.
“Perhimpunan yang besar itu dibimbangi akan mencetuskan rangkaian jangkitan baharu.

“Sehubungan dengan itu, patik sekalian tidak rela Duli Tuanku dikaitkan dengan peningkatan kes yang berpunca daripada pembukaan Sidang Parlimen tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada kesempatan ini juga, PPNM berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Baginda terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dilanjutkan usia agar dapat memerintah negeri dengan penuh hikmah dan kebijksanaan berdasarkan kata-kata azimat “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply