Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan vaksinasi kepada setiap individu di negara ini untuk mencapai imuniti kelompok dengan pantas sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan jumlah kematian.
Selain, menambah baik perkhidmatan vaksin dari kampung ke kampung.
Cadangan itu dinyatakan dalam satu petikan video berdurasi 5.10 saat disiarkan di saluran youtube channel Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin beri cadangan agar pengambilan vaksin ini diwajibkan oleh pihak kerajaan supaya semua orang dapat divaksin dan kadar imuniti kelompok dapat dicapai dengan pantas seperti yang diharapkan sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan jumlah kematian.
“Mungkin program vaksinasi ini boleh ditambah baik dengan menyediakan perkhidmatan vaksin dari kampung ke kampung.
“Kalau ada yang tidak dapat hadir untuk ambil vaksin, maklumkan segera kepada pusat vaksin supaya vaksin itu tadi tidak dibazirkan dan boleh diberi kepada mereka yang sedang menunggu,” kata Tun Dr Siti Hasmah.
Tun Dr Siti Hasmah turut menyatakan rasa kecewa atas sikap segelintir masyarakat yang masih enggan untuk mengambil suntikan vaksin meskipun sudah membuat pendaftaran.
“Saya dapati sehingga hari ini ramai yang telah divaksin, Alhamdulillah tahniah saya ucapkan. Ini satu kebanggaan.
“Namun terdapat juga daripada mereka yang telah daftar, tetapi tidak hadir ke pusat vaksin, ini sangat mengecewakan.
“Ada laporan mengatakan sehingga 10,000 orang tidak hadir ke temu janji vaksin. Kenapa ini berlaku?
“Ada pula sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab menyampaikan dakyah palsu berkenaan vaksin, Ini semua tidak benar, kita perlu percaya kepada sains,” katanya.
Tun Dr Siti Hasmah turut menasihatkan orang ramai supaya jangan takut untuk menerima suntikan dan memberi jaminan bahawa ia adalah selamat.
“Jangan takut divaksin, saya bersama suami saya sudah ambil vaksin sebanyak dua dos. Alhamdulillah, sehingga hari ini tidak ada apa-apa perkara pelik berlaku.
“Oleh itu, sekali lagi saya nasihatkan patuthilah SOP (prosedur operasi standard) dan sedarlah bahawa COVID-19 ini amat bahaya,” tambah beliau lagi.
Tun Dr Siti Hasmah, 95 tahun, telah mengambil suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech bersama suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Mac lalu.
Untuk rekod jumlah pendaftaran vaksin kini telah mencecah hampir 45 peratus melibatkan pendaftaran sebanyak 10,850,160 individu. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply