Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAAgong zahir ucapan tahniah atas kejayaan dua pelajar dalam peperiksaan ACCA

Agong zahir ucapan tahniah atas kejayaan dua pelajar dalam peperiksaan ACCA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia kerana berjaya menempatkan diri di antara 10 teratas dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara di laman Facebook, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kagum di atas kesungguhan dan semangat perjuangan tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pelajar ini dalam menghadapi dugaan dan kekurangan bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar-pelajar dari golongan B40 dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global sekiranya diberi peluang,” titah Baginda hari ini.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga kedua-dua pelajar tersebut dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan.

Semalam media melaporkan niat tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah mendorong Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu untuk memperoleh markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan.

Nurul Fatin Nabihah, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudiannya dibesarkan oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai petani, sementara ibunya merupakan seorang suri rumah tangga.

Mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fatin juga berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Sememtara itu Siti Naziah, pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pula, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Naziah, anak sulung daripada dua beradik, menghadapi cabaran yang getir kerana kehilangan ayah pada 2018 akibat kanser. Ketika itu, beliau sedang sibuk dengan persiapan untuk menghadapi peperiksaan CAT.

Pelajar-pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu merupakan antara 92,000 orang calon dari serata dunia yang menduduki peperiksaan tersebut pada sesi Mac 2021.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments