Polis Johor menahan seorang pegawai kanan berpangkat Inspektor dan tiga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan seorang pengurus kilang di Batu Pahat, Johor.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, tangkapan dibuat pada 8 April lalu pada jam 6.15 petang.
“Kesemua suspek ini menjalankan aktiviti mereka seperti pemungat cukai pintu yang pergi ke kilang-kilang untuk lakukan pemerasan. Namun kali ini mangsa telah buat laporan polis”, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor siang tadi.
Tambah Datuk Ayob, siasatan awal mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk memberi wang sejumlah RM1,500.
Ia sebagai balasan kepada pegawai kanan dan tiga anggota polis terbabit untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja Bangladesh di kilang perabot itu yang tidak mempunyai permit.
Bagaimanapun, jelasnya, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan jumlah wang yang diminta itu menyebabkan pegawai dan anggota terbabit bersetuju mengurangkan kepada RM1,000.
“Pengurus kilang itu menyerahkan wang RM1,000 berkenaan kepada pegawai serta tiga anggota polis berkenaan yang kemudiannya beredar dari lokasi kejadian tanpa ambil sebarang tindakan terhadap pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit.
“Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini oleh pendakwa raya dan kemungkinan akan dituduh di mahkamah pada hujung minggu ini,” katanya.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan ditahan reman selama sehari pada 8 hingga 9 April lalu.
“Banyak maklumat yang sebelum ini tidak sampai kepada pihak kami di IPK. Saya menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kerana saya akan ambil tindakan,” katanya. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com

Leave a Reply