Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Timur Laut menyita sebanyak 1,900 kilogram (kg) tepung gandum kerana didapati disimpan tanpa permit sah di sebuah premis membuat makanan di Teluk Kumbar, Balik Pulau.
Bertindak atas maklumat satu serbuan dilakukan di premis berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata hasil pemeriksaan mendapati peniaga memiliki barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum dengan kuantiti sebanyak 1,900kg bernilai RM4,637 untuk membuat produk makanan.
“Peniaga telah diminta mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual atau kebenaran bertulis dari KPDNHEP namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, peniaga diwajibkan memiliki lesen atau permit kebenaran menyimpan barang kawalan daripada KPDNHEP dan kegagalan berbuat demikian adalah kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala denda kepada syarikat perbadanan boleh dikenakan tidak lebih RM2 juta.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com

Leave a Reply