Projek Oscar diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mampu dicapai.
Namun, mengambil masa yang panjang dan memerlukan pelaburan besar, sebelum berjaya meletakkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menerusi Simposium Connectasia 2021, 2.0 Interaksi Bersama Industri membincangkan topik Projek Oscar dengan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Datuk Mahiaddin Mustakim sebagai moderator.
Turut hadir lima ahli panel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Haris Sulong; wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris; Pengarah Bahagian Pemasaran FINAS, Raja Khairul Azman Raja Abdul Karim; Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi dan wakil Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Richard Ung.
Memetik laporan Berita Harian, Haris yang juga penerbit filem Redha berkata, Ahli Lembaga Pengarah FINAS sudah berbincang menghantar filem tempatan secara konsisten menyertai festival antarabangsa, setiap tahun.
Katanya, pada peringkat permulaan, mengejar anugerah bukan perkara utama, sebaliknya lebih kepada membina nama dan rangkaian di peringkat global.
“Masih terlalu awal untuk mensasarkan kemenangan. Apa yang lebih penting memastikan kita menghantar penyertaan ke festival yang diiktiraf seperti Cannes, Berlin, Eropah, Hong Kong dan sebagainya untuk membina rangkaian jaringan dengan penganjur festival antarabangsa.
“Setakat ini, hanya enam filem pernah dihantar mewakili negara ke acara berprestij. Kesemuanya dihantar atas inisiatif sendiri dan tidak melalui FINAS. Jumlah ini terlalu sikit jika dibandingkan dengan negara lain.
“Sebelum ini, FINAS hanya menghantar penyertaan membabitkan filem fiksyen dan bahasa asing. Selepas ini, FINAS perlu mempertimbangkan menghantar kategori lain seperti dokumentari dan filem pendek,” katanya.
Katanya penggiat seni tempatan mempunyai produk bagus seperti filem pendek, Rumah Nda Bertanah arahan bakat muda, Putri Purnama Sugua yang berjaya disenarai pendek untuk menerima Biasiswa Snow Leopard, Festival Filem Asia Dunia Keenam, anjuran Hollywood Foreing Press Association (HFPA).
Dengan cara itu, katanya, usaha untuk menembusi tembok Oscar boleh dilakukan dengan lebih cepat.
Tambah beliau FINAS perlu mempunyai pasukan publisiti yang mantap bagi membantu melobi filem tempatan hingga ke peringkat Oscar.
“Apabila memperkatakan mengenai kemenangan Parasite, tetapi tahukah kita, Korea Selatan melantik tiga pasukan promosi untuk melobi filem berkenaan ke Oscar. Mereka membeli pelbagai iklan di majalah dan portal di Amerika Syarikat demi mempromosikan filem ini.
“Kita juga boleh melakukan perkara yang sama, tetapi FINAS perlu mengeluarkan modal antara AS$100,000 (RM415,000) hingga AS$150,000 (RM620,000) untuk tujuan promosi. Duit memainkan peranan penting untuk ke Oscar, namun ia tidak mampu dilaksanakan tanpa kewangan kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, karya yang ingin dipertaruhkan harus dimantapkan terlebih dahulu sebelum membawa filem tempatan ke Oscar.

Justeru, katanya, FINAS bercadang untuk memilih antara lima hingga 10 produk untuk dibangunkan dengan melantik seorang mentor dari luar negara untuk memberikan bimbingan dalam penghasilan skrip yang menjadi pilihan juri.
Skrip dihasilkan, katanya, akan diberikan kepada mentor yang dilantik untuk menilai.
Katanya, FINAS turut bercadang menerbangkan mentor berkenaan ke Malaysia untuk membimbing penulis skrip yang terpilih atau mungkin mengadakan kelas bimbingan secara atas talian bergantung pada keadaan.
“FINAS akan memilih lima ke 10 karya untuk boleh dibangunkan. Kami bercadang melantik mentor dari Hollywood untuk memberikan bimbingan kepada lima ke 10 penulis supaya dapat menghasilkan karya yang mengikut acuan serta menepati piawaian juri Oscar,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu tidak dipersetujui Burhanuddin.

Bagi penerbit filem animasi Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal yang berjaya menembusi senarai awal dalam kategori Filem Animasi Rencana Terbaik berkata, kita sepatutnya bangga dengan nilai dan seni budaya tempatan.
Justeru, katanya, hasrat mengupah mentor dari Hollywood untuk membimbing pengkarya tempatan tidak perlu dan hanya membazir.
“Karya tempatan tidak mampu menandingi kehebatan Hollywood dalam menghasilkan filem aksi dan cinta. Oleh itu, kita perlu menawan hati juri dengan menghasilkan filem mengenai budaya dan tradisi. Hanya orang Malaysia tahu jiwa dan budaya kita.
“Saya berharap FINAS dapat melihat dengan lebih mendalam mengenai perkara ini. Bagi saya, buat untuk apa mahu mengupah mentor dari Hollywood kerana ia adalah pembaziran. Les’Copaque sudah berjaya membuktikan tanpa menggunakan kepakaran luar negara, sebaliknya 100 peratus produk dihasilkan oleh anak tempatan berjaya memahat nama di Oscar,” kata Burhanuddin.
Namun, katanya, dia bersetuju dengan cadangan Haris mengenai pelaburan yang perlu dikeluarkan FINAS untuk tujuan publisiti.
“Jika serius untuk ke Oscar, FINAS perlu mengeluarkan modal yang besar. Mungkin apa yang perlu dilakukan menghantar seorang wakil tinggal di Hollywood selama beberapa tahun supaya dapat membina rangkaian dengan komuniti yang terbabit dalam penganjuran anugerah bertaraf mega itu.
“Atau guna khidmat rakyat Malaysia yang menetap di Hollywood supaya boleh melobi dan membeli jiwa juri. Oscar mengetengahkan 60 juri, jika mampu menambat hati 40 juri pun sudah memadai, tetapi ia bukanlah semudah disangka.
“Selain itu, FINAS perlu sanggup mengeluarkan duit untuk melabur dengan mengadakan tayangan gala. Bajet yang diperlukan hampir RM100,000 untuk tayangan. Mereka perlu menjemput juri-juri Oscar ke majlis berkenaan. Pendek kata, semuanya memerlukan duit jika benar-benar serius mahu melangkah ke Oscar,” katanya.

Leave a Reply