Guinea mengisytiharkan penularan pandemik Ebola di negara itu pada Ahad lalu.
Menurut Pegawai Kesihatan Awam Guinea, tujuh kes dan empat kematian dilaporkan setakat ini.
Untuk rekod, penularan pertama Ebola di Afrika berlaku pada tahun 2014 hingga 2016 yang menyebabkan kematian lebih 11,300 orang akibat pandemik berkenaan pada ketika itu dengan kes bermula di sebuah perkampungan di Guinea dan merebak ke Liberia dan seterusnya Sierra Leone.
Susulan itu, pihak kesihatan awam Guinea sedang melakukan pengesanan kontak dan pengasingan ke atas mereka yang dijangkiti Ebola.
Vaksin Ebola dijangka akan diperoleh seawal minggu ini dan diedarkan di Nzerekore, lokasi terbaharu pandemik dikesan.
Pihak berkuasa berkata, upacara pengebumian seorang jururawat pada 1 Februari lalu menjadi antara punca perebakan virus Ebola di negara Afrika itu.
Ia berikutan tujuh individu yang menghadiri upacara berkenaan menunjukkan simptom seperti cirit-birit, muntah dan mengalami pendarahan. Tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, kerajaan menggesa mana-mana individu yang mempunyai simptom sama agar segera berjumpa doktor dan kemudian akan dirawat serta diasingkan dalam tempoh enam minggu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pada itu meminta tindakan segera dilakukan terhadap ancaman Ebola di Guinea.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply