Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAJKM Melaka mohon hak jagaan sementara adik beradik arwah Amir

JKM Melaka mohon hak jagaan sementara adik beradik arwah Amir

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Latipah Omar berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap dua beradik kepada kanak-kanak lelaki yang dilaporkan mati lemas dalam tong air semalam.

Beliau berkata demikian memandangkan kedua ibu dan bapa kanak-kanak malang itu kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan dan mengambil kira keadaan kesihatan neneknya.

“Ada akta yang boleh kita ambil memandangkan kita tengok nenek dia juga sudah berusia dan perlu menjaga kakak mangsa yang berusia sembilan tahun.

“Takkan dia nak jaga pula adik-adik yang kecil ini, kita takut dia terabai dari segi susu, pakaian dan penjagaan diri. Jadi wajarlah JKM ambil tindakan sebegini,” jelasnya.

Menurut beliau, permohonan terhadap dua beradik yang masing-masing berusia dua dan empat tahun itu akan dibuat mengikut Seksyen 17(1)(j) Akta Kanak-Kanak 2001 pada esok hari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga angkat arwah adik Amir di rumah inap desa yang disewa di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam.

Turut sama dalam lawatan terbabit adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Burhanuddin Bachik.

Terdahulu, dilaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang (Jumaat), pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang mengatakan anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Namun, siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Semoga kematian arwah adik Amir mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Salam takziah dari kami warga kerja portal The Malaya Post.

Al-Fatihah 🤲🏻

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments