Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al Marhum Sultan Iskandar menyatakan rasa dukacita terhadap penularan berita seorang wanita Islam berasal dari Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan tanpa mengikut hukum Syara’ di India.
Menerusi satu kenyataan media, baginda menitahkan agar segala usaha dilakukan pihak berkuasa Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor bagi memastikan kesahihan serta keabsahan terkini wanita terbabit sama ada melalui ahli keluarganya dan juga kedutaan Malaysia di India.

Sementara itu, Sultan Johor menasihati semua pihak agar tidak membuat apa-apa penghakiman dan tindakan kurang matang dalam menangani berita ini.

“Setakat ini, dia tidak mengisytiharkan keinginan keluar dari agama Islam.

“Jika kita tergesa-gesa menghukum, ia akan menjadi tembok tinggi baginya untuk pulang ke tanah air dan menjarakkan lagi jurang antara keluarga dan dirinya, apatah lagi ianya melibatkan hubungan antara agama, kaum dan dua negara.
“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut memberi nasihat agar wanita berkenaan membuat keputusan yang tidak melanggar norma-norma agama supaya akidah kekal jitu dalam lingkungan syariat Islam.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply