Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAPiagam Persefahaman Politik tiga gabungan parti harus segera direalisasikan - Dato’ Seri...

Piagam Persefahaman Politik tiga gabungan parti harus segera direalisasikan – Dato’ Seri Hamzah Zainudin

Perikatan Nasional (PN) dibentuk ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah.

Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat dari ketidak-puasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)

Dalam satu perkongsian di laman Facebook, Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata jangkamasa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan, menyaksikan kegagalan parti PH menunaikan pelbagai janji manifesto, pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu, pengurusan ekonomi yang lemah dan berbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Ekoran daripada itu, beberapa perbincangan awal telah diadakan dalam kalangan ahli-ahli parlimen mewakili parti-parti politik yang berkongsi aspirasi yang sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil-alih kerajaan daripada Pakatan Harapan supaya Perdana Menteri ketika itu meneruskan kepimpinan dengan kerajaan yang baharu.

“Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa ahli parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan yang penting. Ini termasuklah penyertaan ahli-ahli parlimen tertentu ke dalam parti baru untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan.

“Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai,” kongsi beliau.

Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan hasil persefahaman yang dipersetujui antara Presiden

parti BERSATU, UMNO dan PAS selepas perletakan jawatan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 secara mengejut pada 23 Februari 2020.

Penubuhan kerajaan baharu ini juga disokong sepenuhnya oleh Presiden PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili.

“Semua ketua-ketua parti terbabit telah sebulat suara bersetuju untuk memperakukan Presiden BERSATU sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang baharu dan kesepakatan tersebut telah diperkenan oleh Ke Bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong.

“Ini akhirnya menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sah berdasarkan perlembagaan negara.

“Seluruh rakyat menjunjung kasih Ke Bawah Seri Paduka Baginda atas kebijaksanaan Baginda menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada ketika itu,” ujar beliau.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ketika pembentukan kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud kesinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

“Bagi tujuan berkenaan, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ianya juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat.

“Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh.

“Ia juga dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri berkenaan,” kata beliau.

Tambahnya, mengambil contoh di negeri Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik BERSATU memandangkan jawatan terbabit telah dijawat oleh wakil BERSATU sebelum pembentukan kerajaan PN.

“Sementara itu di Johor, jawatan Menteri Besar telah dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik BERSATU.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah sebanyak 4 buah negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

“Bagi PAS pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di 3 buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak,” ujar beliau.

Menurutnya, persefahaman politik ini telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil BERSATU menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah.

“Bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar PM bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

“Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama kerajaan pimpinan PN hari ini iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak,” kongsi beliau.

Atas dasar itu, beliau menyatakan gagasan terbabit bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya.

“Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

“Sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau yakin dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,” ulasnya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments