Suasana pagi di Pengkalan Hulu satu daerah di dalam Hulu Perak begitu tenang dengan awan kabus melitupi keindahan daerah ini yang masih terpelihara kehijauannya.

Kesuburan tanah Pengkalan Hulu menjadikan ia sebagai lokasi yang amat sesuai untuk tanaman buah durian.

Kerajaan Negeri Perak akan menjadikan Pengkalan Hulu sebagai hub utama pengeluaran durian jenis Musang King yang disukai ramai peminat raja buah dalam negara.

Sebelum ini, kebanyakan penduduk di Pengkalan Hulu merupakan pekebun kecil getah yang berpendapatan RM1,000 ke bawah dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah nasib mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Aznel Ibrahim telah mengadakan satu kempen pada tahun 2013 untuk membolehkan penduduk di Pengkalan Hulu menambah pendapatan dengan kempen ‘Jom Tanam Durian’.

Menurut beliau, kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama dengan Pejabat Pertanian.

“Apabila saya melihat suasana ini pada hujung tahun 2013, saya adakan program Jom Tanam Durian. Saya adakan program itu bersama dengan Pejabat Pertanian, Pejabat Pertanian pun bagi sokongan yang baik kepada saya ketika itu dan kita mendapat peruntukan daripada kerajaan.

“Ketika itu, banyak yang menyoalkan kepada saya, mereka-mereka ini penoreh getah, ada pokok getah, jika kita buang pokok getah ganti dengan durian mereka hendak makan apa.
“Jadi saya bagi idea, simple sahaja, u kalau ada tiga ekar, u buang satu ekar pokok getah, 2 ekar lagi u toreh u makan.Cukup lima tahun pokok durian ni dah boleh makan baru digantikan dengan dua ekar ini,” ujarnya.
Program terbabit mendapat bantuan anak-anak pokok durian jenis Musang King dan Duri Hitam bersama dengan baja berserta kelengkapan untuk para pekebun kecil mulakan penanaman durian dan kehidupan mereka kini sudah berubah.
Kata Aznel, kini pokok durian yang mula ditanam dulu sudah pun membuahkan hasil.
“Hari ini, pokok yang kita bagi 2013 sudah mendatangkan hasil untuk tahun yang kedua. Syukur, Alhamdulillah, pokok yang kita bagi ketika itu bukan banyak seorang 15 pokok.
“Pokok yang 15 itu hari ini satu musim buahnya lebih kurang sepokok 2 ribu dapatlah dia 30 ribu,” tambahnya.
Durian yang dikeluarkan dari Pengkalan Hulu dikatakan ada perbezaan dengan durian jenis sama seperti Musang King di tempat lain kerana kualitinya lebih tinggi.
Yang DiPertua Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Safuan Saleh berkongsi cerita rasa durian yang lebih sedap di Pengkalan Hulu adalah kerana lokasi geografinya dan keadaan suhu yang lebih rendah.

“Durian kita di sini agak berbeza dengan durian lain di tempat lain walaupun mempunyai jenis-jenis yang sama seperti Musang King, Duri Hitam dan sebagainya kerana keadaan struktur tanah kita di sini.
“Selain kita berbukit kita juga, suhu kita di sini agak rendah jadi itu menyebabkan durian kita lebih manis dan juga lebih berkualiti, saya rasa lebih berkualiti. Saya rasa itu merupakan salah satu tarikan utama kem kita di sini lah,” katanya.
Kini, sudah ramai pengusaha dusun durian ada di Pengkalan Hulu dari pelbagai bangsa dan latar belakang mengambil kesempatan keadaan tanah yang subur di pengkalan hulu.
Keluasan tanah yang digunakan untuk dijadikan dusun durian ini juga amat luas kira-kira 800 hektar di Pengkalan Hulu sehingga tahun 2019, demikian menurut Penolong Pegawai Pertanian Pengkalan Hulu, Mohamad Nazri Ishak.
Sehingga penghujung tahun ini keluasan itu akan bertambah hingga 1214 hektar kerana kebanyakan petani sudah pun mula menebang pokok getah dan sawit untuk diganti dengan tanaman durian.
“Program Jabatan Pertanian memang menggalakkan petani-petani di kawasan Pengkalan Hulu ini untuk ditanam dengan klon yang bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang tinggi lah seperti D197 Musang King, D200 Duri Hitam, D24, D160 Teka dan D168 IOI.
“Bukan itu sahaja, bantuan turut diberikan oleh Jabatan Pertanian untuk para pengusaha dusun durian dari segi khidmat nasihat, pengurusan ladang kebun durian, kawalan penyakit dan baja.
“Baja, Racun dan anak pokok juga diberikan kepada para petani,” ujarnya.
Bagi seorang bekas jurutera di Pelabuhan Pulau Pinang, Azaham Ibrahim, dua tahun lepas beliau menceburi bidang pertanian kerana menyedari keuntungan dan peluang di dalam bidang ini jauh lebih baik.

Beliau yang turut mengusahakan hotel dan homestay, kini sudah pun memiliki dusun durian di Pengkalan Hulu.
“Saya dapati pertanian ini lebih bagus, lebih menambahkan pendapatan kita daripada sumber-sumber lain.
“Saya sudah menceburi bidang pertanian ini selama dua tahun dan hasil dia sangat-sangat lumayan kalau kita dibandingkan dengan benda lain seperti construction ka atau benda lain, atau apa sahajalah, sebab tanaman durian sekarang ni pulangannya cukup tinggi,” katanya.
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian turut sama sentiasa memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada para pekebun kecil durian di Pengkalan Hulu seperti Encik Azaham.
“Di Pengkalan Hulu, kerajaan sudah bagi bantuan, tiap-tiap pekebun kecil yang ada lebih kurang 2 ekar ke atas depa akan bagi benih pokok Musang King, Duri Hitam lebih kurang 30 pokok dan sekali dengan baja, baja tahan untuk dua tiga tahun, depa bagi tunjuk ajar cara-cara nak tanam dan cara-cara nak usahakan dia.
Satu keunikan di Pengkalan Hulu ini ialah para pengusaha tanaman durian di sana terdiri dari pelbagai bangsa dan mereka sama-sama mengusahakan tanaman durian dan menikmati pulangannya juga bersama.
Bagi, Praveen Ramalingam, beliau sering ke kebun durian milik ayahnya ketika masih kecil dan berusia kira-kira lima tahun dan kini beliau sendiri mengusahakannya.

Minat dengan durian dalam dirinya timbul kerana baginya penjagaan pokok durian adalah satu seni.
“Dia lain dari sawit, tanaman getah dan sebagainya sebab dia berubah ikut cuaca dan faktor-faktor lain. Jadi, untuk nak menguasai dia kita kena pandai untuk nak menilai pokok tu, pembajaan dia special sikit, pengairan dia pun special sikit.
“Dia nak air tapi dia tak nak terlalu basah. Jadi, itu semua orang kata satu cabaran, macam mana kita nak buat supaya pokok tu sihat dan memenuhi kehendak dia,” katanya.
Bagi seorang lagi pengusaha durian dari Kampung Kuak Tengah iaitu Mohamad Harumin Abdul Majid, kegilaan orang ramai yang tinggi terhadap durian adalah keseronokan kepada dirinya sehingga turut sama mengusahakan dusun durian.
Sebelum ini, Harumin bekerja sebagai seorang pemandu lori di Ipoh.
“Uniknya durian ni hasil dia setahun sekali, lepas tu dia jadi kegemaran ramai lah buah durian ni, itu yang unik dia seronok dia tu. Awal-awal saya pilih durian sebab saya tengok tanah saya tu memang tak sesuai untuk tanam getah, sawit, memang untuk durianlah, sebab tu saya pilih durian,” ulasnya.

Di Pengkalan Hulu, para pengusaha durian akan menghantar buah-buah yang baru gugur satu pusat pengumpulan durian yang akan diproses menjadi pes untuk dieksport.

Setiap hari, suasana di pusat berkenaan sentiasa sibuk dengan kehadiran pekebun durian yang menghantar hasil mereka.
Untuk satu musim durian, pusat pengumpulan durian berkenaan boleh menghasilkan kira-kira 10 tan pes isi durian untuk diedarkan ke tempat lain
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply