Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menjalin kerjasama meningkatkan kebolehpasaran graduan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan media berkata kerjasama KPT bersama PUNB amat signifikan dalam menzahirkan komitmen membantu meningkatkan tahap pencapaian, khususnya graduan bumiputera dalam bidang keusahawanan sekaligus membuka lembaran baharu dalam memberi nafas lebih segar kepada kerjasama yang ditemeterai.
“KPT menganggarkan lebih 300,000 pelajar bakal menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan melangkah ke alam pekerjaan.
“Dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini, wujud kegusaran di pihak Kementerian terhadap nasib bakal graduan ini.
“Kementerian melihat bahawa bidang keusahawanan mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh pelajar dan graduan di samping menjadikannya sebagai satu daripada cabang kerjaya,” ujar beliau pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam Bidang Penyelidikan, Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan Bumiputera secara maya hari ini.

Beliau turut percaya dalam bidang keusahawanan, seseorang itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang berganda, tetapi juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain dan kerjasama ini bersetuju merangka strategi baharu bagi memantapkan lagi usaha meningkatkan penguasaan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.

“Pelbagai program kolaborasi dirangka khususnya dalam bidang penyelidikan; pembangunan keusahwanan; dan kebolehpasaran graduan.
“KPT dan PUNB akan berbincang bagi merangka program untuk membantu para graduan. Sebagai langkah rintis, seramai 500 graduan bumiputera akan terlibat di bawah program EntreprenuerMOHE@PUNB – “Empowering Business Through Digitalisation” untuk tempoh tiga bulan,” ulas beliau.
Rakan kerjasama, PUNB menyatakan harapan agar kerjasama ini dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang manfaat terhadap lebih 300,000 graduan yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini.
“Kerjasama ini akan dijalankan dalam bidang penyelidikan, pembangunan keusahawanan melalui program latihan kemahiran keusahawanan yang dirangka dan dilaksanakan secara bersama.
“Program jangka pendek di bawah program EntreprenuerMOHE@PUNB – “Empowering Business Through Digitalisation” akan memberi tumpuan kepada latihan pengurusan dan kepimpinan, kewangan, aset dan stok serta bimbingan teknikal bagi pengukuhan kemahiran digital seperti pemasaran digital, penyelidikan dan analisis sesawang yang amat diperlukan oleh entiti perniagaan yang pada masa ini kekal berdaya tahan dan bersaing di pasaran yang lebih kompetitif,” ujar pihak terbabit dalam satu siaran media.
Dalam menjayakan kerjasama ini, PUNB turut menawarkan khidmat nasihat berkaitan perniagaan kepada peserta melalui BizKonsultansi yang boleh diakses secara dalam talian oleh peserta sepanjang tempoh mengikuti program latihan atau setelah mereka berjaya menamatkan latihan.
Untuk rekod Jalinan kerjasama antara KPT dan PUNB yang bermula sejak tahun 2016 telahpun berjaya menyaksikan empat program keusahawanan dilaksanakan.
Antara Program-program yang telah dilaksanakan ialah Program Motivasi Usahawan Muda; Program Latihan Pembangunan Usahawan Muda; Biz Clinic; dan Program Latihan Pembangunan Perantis BRO (Bumiputera Retailers Organisation).
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply