Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAPekan Karai sarat cerita sejarah

Pekan Karai sarat cerita sejarah

Karai merupakan sebuah pekan di tepi tebing Sungai Perak, Perak berhampiran dengan bandar Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Nama Karai telah wujud dalam peta-peta lama negeri Perak berbanding dengan bandar-bandar lain di Perak atau Malaysia.

Ini mungkin kerana jalan sungai menjadi nadi utama pengangkutan ketika itu untuk mengangkut bijih timah.

Pekan Karai cukup popular dengan namanya yang seringkali menjadi sebutan buat penduduk di sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Jika dahulu Pekan kecil Karai yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini dianggap sebagai pekan mati kerana kekurangan pengunjung berbanding Sungai Siput dan Padang Rengas namun di sebaliknya itu tersembunyi keistimewaan yang menyebabkan ia tetap menjadi tumpuan golongan tertentu.

Hakikatnya, bagi yang hendak menggadai barang kemas atau menjual getah buku, pekan Karai dikatakan menjadi pilihan terbaik kerana harga ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding di tempat lain.

Barangan seperti racun serangga dan rumput-rampai, barangan logam, alat bekerja di ladang termasuk pisau menoreh getah, bahan pertukangan tangan serta barangan runcit pula boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah di pekan ini.

Karai yang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di tebing sungai Perak yang tersenarai dalam naskah ‘Coffee Table Book’- Sejarah Perancangan Pekan-pekan Kecil di Perak yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) negeri.

Penerbitan naskah ‘Coffee Table Book’ tersebut merupakan langkah terbaik yang dilakukan oleh JPBD untuk memartabatkan sejarah pekan-pekan kecil yang mempunyai nilainya yang tersendiri.

Serba sedikit untuk diceritakan berkenaan asal usul nama Karai, sebuah mukim yang berada dibawah jajahan dan pentadbiran daerah Kuala Kangsar ini.

Sebenarnya, nama Karai berasal dari sebatang pokok dan ada juga yang kaitkan nama Karai ini berkaitan dengan penemuan makam keturunan Aceh yang bernama Karai.

Ramai yang tahu Karai kerana terkenalnya dengan Jambatan Victoria yang telah mencecah usia lebih 100 tahun.

Walaupun jambatan diperbuat daripada konkrit ini masih kukuh, namun atas faktor-faktor keselamatan, ia tidak lagi digunakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak kira-kira lima tahun lalu.

Pekan Karai mempunyai sejarah yang panjang dan ia pernah menjadi kawasan pengeluaran getah utama Perak sekitar 1940-an.

Tumpuan masyarakat ke pekan Karai ketika itu menyebabkan wujud perkhidmatan kereta api untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Sewaktu harga getah merudum pada 1970-an, ramai penoreh getah meninggalkan pekan Karai untuk mencari pekerjaan lain.

Sejak itu, nama pekan Karai yang terkenal beransur-ansur hilang daripada sebutan masyarakat.

Antara kesan sejarah yang masih dapat dilihat di kawasan ini ialah kubu pertahanan Jepun peninggalan era Perang Dunia Kedua.

Kedudukan kubu tersebut pula terletak berhampiran dengan jambatan kereta api Victoria.

Namun, ramai juga yang masih belum tahu berkenaan sebuah rumah agam usang yang kini ditinggalkan sepenuhnya itu sebenarnya berusia hampir sama bahkan mungkin lebih tua daripada Jambatan Victoria.

Ia masih tersergam usang di sebalik rimbunan pokok di atas bukit.

Rumah agam yang memegang konsep seni bina Inggeris di belakang Sekolah Agama Rakyat Ad-Dinniyyah hari ini tidak lagi berpenghuni dan kelihatan semakin usang dimamah usia.

Buat pencinta monumen sejarah, rumah agam berkenaan sebenarnya punyai nilai yang cukup tinggi.

Hari ini, pekan Karai hanya menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Selasa berikutan wujud pasar sehari dikenali ‘Pekan Selasa.’

Kehadiran para peniaga yang menjual beraneka jenis barangan secara lambak dengan harga murah mampu memberi ‘nyawa’ kepada pekan mati ini berbanding pada hari-hari lain.

Bagi yang berpendapatan rendah, Pekan Selasa adalah tempat paling sesuai untuk berbelanja bagi mendapatkan barangan dapur hingga kepada keperluan peribadi.

Antara yang turut mendapat perhatian ialah kuih kundas yang sering dimakan bersama secawan air kopi atau teh tarik panas.

Bagi pengunjung sama ada penduduk tempatan atau orang luar, tidak sempurna kedatangan mereka ke Pekan Selasa di pekan Karai jika tidak merasai keenakan kuih kundas yang semakin sukar dicari ini.

FOTO : SAYIDAH NAPISAH

 

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments