Jika ke Tanjung Malim, antara lokasi yang terkenal dan disebut ramai adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ditubuhkan pada tahun 1922 sebagai kolej guru, UPSI kemudiannya dikenali sebagai Kolej Latihan Sultan Idris (SITC),
UPSI adalah universiti pendidikan pertama dan salah satu institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia.

Diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 seiring dengan perancangan kerajaan untuk menambah bilangan guru siswazah di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
Disini para penuntut ditawarkan program ijazah sarjana muda dalam lapan fakulti yang mengkhususkan diri dalam bidang Muzik dan Persembahan, Perniagaan dan Ekonomi, Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bahasa, Sains dan Teknologi, Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Sains Sukan.

Mempunyai dua kampus iaitu kampus pertama yang terletak di pekan Tanjung Malim yang dikenali sebagai Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) manakala kampus kedua Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terletak di bandar Proton atau lebih dikenali sebagai Proton City.
Kampus yang berlokasi di Bandar Proton dikenali sebagai Kampus Sultan Azlan Shah.
Untuk rekod, UPSI telah melahirkan ramai tokoh pendidikan berkaliber dan pemimpin tersohor seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba dan tokoh pendidikan Tan Sri Awang Had Salleh.
MUZIUM PENDIDIKAN NASIONAL
Dah alang-alang kita berada di UPSI, Muzium Pendidikan Nasional antara lokasi yang wajib kita lawati.
Kami kongsikan sedikit sejarah tentang Bangunan Suluh Budiman yang kini dijadikan Muzium Pendidikan Nasional.

Terletak di dalam ruangan kampus lama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Bangunan Suluh Budiman telah dibina pada tahun 1919.

Atas dasar keprihatinan kerajaan, bangunan bersejarah ini telah dinaik taraf sebagai Muzium Pendidikan Nasional dengan kos RM9.8 juta.

Muzium pendidikan yang pertama negara dipulihara dengan kos terbabit dan diiktiraf sebagai mercu tanda kegemilangan pendidikan tanah air.

Projek pemuliharaan bangunan terbabit dimulakan pada 24 Ogos 2009 untuk dijadikan sebagai Muzium Pendidikan Nasional dengan merujuk kepada prinsip konservasi bangunan bersejarah seperti diperuntukkan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan garis panduan Konservasi Jabatan Warisan Negara.

Bangunan Suluh Budiman berperanan dalam menyumbang pembangunan negara dan bangsa malah kebangkitan nasionalisme yang menjadi pemangkin kepada perjuangan kemerdekaan turut bermula di sini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Perak amat yakin bahawa Muzium Pendidikan Nasional berperanan besar sebagai pusat khazanah sumber ilmu serta sejarah pendidikan negara.

Ianya juga merupakan satu penghormatan kepada dunia pendidikan negara melalui pameran khazanah lama dan terkini yang melambangkan pencapaian sistem pendidikan di Malaysia dari era sebelum merdeka sehingga kini.

Galeri ni akan membawa korang memahami susur galur pendidikan di Tanah Melayu sehinggalah sekarang termasuk mengenali tokoh-tokoh yang cukup signifikan peranannya dalam lapangan dunia pendidikan negara.
RUMAH ZA’ BA
Apabila melangkah masuk ke UPSI jangan lah anggap institut pengajian tinggi ini hanya untuk bakal-bakal cikgu semata-mata?
Moh ler kita beramai-ramai datang kesini bagi mengetahui sekaligus mendalami nilai sejarah yang tersimpan disini.
Dah habis melawat Muzium Pendidikan Nasional, kami beralih ke Rumah Za’ba pula.

Sebuah rumah kecil yang dikatakan pernah didiami oleh tokoh persuratan agung Melayu iaitu Pendita Za’ba dijadikan sebagai salah satu bangunan warisan kenangan.

Disini kami kongsikan info tentang cendekiawan ulung bernama Pendeta Za’ba.

Za’ba atau nama penuhnya Zainal Abidin Ahmad lahir pada 16 September 1895 dan meninggal dunia pada 23 Oktober 1973.

Beliau merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu berketurunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an.
Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, beliau aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan.

Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply