Berhubung pelantikan anggota baharu Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) parlimen Labuan pada April lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat penyusunan semula pentadbiran pengurusan MPPWP bagi membolehkan perkhidmatan diberikan kepada komuniti lebih fokus dan menyeluruh sehingga ke akar umbi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, anggota MPPWP yang kini merangkumi seorang Pengerusi Zon dan lima orang Pengerusi Sub Zon bagi parlimen Labuan hendaklah memainkan peranan dalam menerajui perubahan minda masyarakat khususnya dalam usaha pembaharuan serta penambahbaikan yang dibawa kerajaan.
Malah ujar beliau, di dalam situasi negara sedang menangani krisis pandemik COVID-19 ini, setiap wakil MPPWP perlu berperanan sebagai pasukan barisan hadapan bagi meningkatkan kesedaran dan literasi dalam kalangan komuniti.
“MPPWP selaku penghubung di antara kerajaan dan rakyat perlu menyalurkan maklumat, malum balas, aduan, masalah, permintaan atau keperluan penduduk kepada Perbadanan Labuan untuk mencari jalan penyelesaian yang baik.
“Hasrat kerajaan untuk mewujudkan struktur komuniti Wilayah Persekutuan yang mampu mengawal selia masyarakat setempat dapat dilaksanakan melalui MPPWP.
“Perkara ini agar dapat memastikan semua inisiatif dan bantuan kerajaan dapat diterima dan difahami jelas oleh rakyat,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar barisan MPPWP baharu ini sentiasa bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak kerajaan serta melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply