Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan merentas negeri, pada bulan lepas.
Memetik laporan Bernama, Ahmad Aizuddin Abd Mokhti, 30, dan isterinya Nur Farah Aina Muslim, 30, didakwa bersama-sama menggunakan dokumen berupa memo untuk berjumpa doktor bertarikh 27 Mei 2020, sedangkan mereka tahu maklumat itu adalah palsu.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka yang bekerja sebagai jurutera kilang dan akauntan itu didakwa bersama-sama menggunakan satu dokumen iaitu permit pengecualian kawalan pergerakan bertarikh 23 Mei 2020 yang mereka tahu ianya adalah palsu.
Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dengan menggunakan dua dokumen tersebut di Plaza Tol Juru arah utara, Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada jam 3.30 pagi pada 23 Mei. Mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazri Abdul Rahim menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. Bagaimanapun peguam Chiang Kian Hong yang mewakili pasangan itu memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada polis selain perlu menyara ibu bapa yang merupakan orang kurang upaya.
Majistret Shamsol Azwa Martadza membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.
Difahamkan kedua suami isteri berkenaan menggunakan dokumen tersebut dengan menukar tarikh bagi tujuan untuk merentas negeri dari Kajang, Selangor ke Pulau Pinang.
– THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply