Malaysia mengalami iklim khatulistiwa yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Ketika musim hujan, kelembapan yang wujud meningkatkan aktiviti pertumbuhan sejenis tumbuhan iaitu cendawan.
Lazimnya, cendawan mudah tumbuh di sekitar rumah, dan pastinya menggembirakan ramai terutama sekali penggemar sayuran ini.
Namun, tahukah anda tidak semua cendawan yang tumbuh melata boleh dimakan kerana dikhuatiri BERACUN!
Berhati hati dan berfikir terlebih dahulu jika anda berniat untuk memetik dan menjadikan tumbuhan itu sebagai santapan.
Menerusi perkongsian di laman media sosial Facebook @Public Health Malaysia, sesetengah jenis tumbuhan ini mengandungi racun yang dinamakan ‘Racun Cendawan Chlorophyllum Molybdites’.
Sebenarnya, terdapat lebih 5,000 spesis cendawan terdapat di seluruh dunia.
Namun hanya sepuluh peratus dari jumlah berkenaan yang boleh dimakan.
Kebiasaanya ia tumbuh secara bersendirian atau berpasangan di atas tanah di kawasan berumput.
Menurut rekod, sebanyak 157 kes keracunan cendawan dilaporkan di Pusat Racun Negara di antara tahun 2006 hingga tahun 2014 dengan majoriti kes melibatkan orang dewasa.
Buat pengetahuan anda, gejala yang dialami adalah berbeza, dari gejala ringan sehinggalah melibatkan gejala serius dan membawa kepada kematian.
Antara gejala yang dialami seseorang adalah loya, muntah-muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Ia biasanya berlaku dalam masa tiga jam selepas pengambilan cendawan.
Cirit-birit mungkin berterusan dan boleh membawa kepada terjadinya pendarahan.
Keracunan cendawan sering terjadi kerana kekeliruan rupa bentuknya yang mirip dengan sejenis cendawan yang boleh dimakan iaitu cendawan parasol (Lepiota procera).
Menurut pakar, agak sukar untuk orang ramai membezakan antara cendawan yang beracun dan cendawan yang boleh dimakan.
Harus diingat, warna, rupa bentuk dan bau BUKAN penentu kepada status racun cendawan. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa berhati hati.
Antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan MENGELAKKAN memetik dan makan cendawan yang tidak diketahui statusnya.
Wajar bagi anda untuk mengetahui reputasi cendawan dan sipenjual cendawan itu sendiri.
Benar, memasak cendawan dapat mengurangkan toksin cendawan, namun tidak dapat memusnahkan toksin sepenuhnya.
Juga elakkan dari makan cendawan secara mentah kerana kita tidak tahu sama ada terkandung racun atau bakteria di dalamnya.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2633957166894139&id=1712327752390423
– THE MALAYA POST –
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply