Saturday, November 21, 2026
HomeBERITASeramai 3,616 warga Malaysia masih terkandas di luar negara

Seramai 3,616 warga Malaysia masih terkandas di luar negara

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamaruddin Jaffar berkata sehingga hari ini (28 Mac) , jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kian meningkat iaitu kepada 3,616 di 58 buah negara memandangkan kebanyakan negara terus melaksanakan kawalan sempadan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 temasuk pembatalan penerbangan antarabangsa menggunakan pesawat komersial.

“Saya tekankan sekali lagi di sini bahawa yang terkandas itu bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-
apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19,” ujar beliau.

Dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia seperti yang diumumkan semalam, seramai 51 orang akan menaiki pesawat sewaan khas Kerajaan Brunei dari Kaherah, Mesir dan Kerajaan Malaysia telah memuktamadkan untuk membawa mereka pulang setibanya di Brunei pada hari Ahad, (29 Mac).

Kerajaan Brunei terus bermurah hati untuk menambah bilangan rakyat Malaysia yang akan diterbangkan pulang dari Kaherah, dengan jumlah terkini seramai 86 orang dan kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Ahad, 29 Mac jam 11.25 pagi.

Dengan mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa di antara Malaysia dan Brunei, kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama.

Pihak kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan
kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang
terkandas di Kaherah.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi satu lagi perkhabaran gembira berikutan usaha repatriasi seramai 18 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives, akan dibawa pulang ke Malaysia melalui usaha sama dengan pihak syarikat Weststar Aviation dan beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Weststar Aviation di atas kesudian mereka untuk membantu kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini, di mana kos penerbangan ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat terbabit.

Tambah beliau lagi, Wisma Putra terus prihatin di atas kesulitan yang dihadapi oleh warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara akibat penutupan sempadan negara luar serta pembatalan penerbangan komersial dan beliau turut berkongsi dengan rakyat Malaysia mengenai perkembangan terbaru usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia.

Sehingga hari ini, jumlah tertinggi warganegara Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India sebanyak 1,988 orang, dengan pecahan sejumlah 916 orang di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai.

Dalam mencari penyelesaian ke atas permasalahan warganegara Malaysia yang terkandas di India, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysian Indian Congress (MIC) telah sekali lagi bersetuju untuk membiayai sebanyak 12 penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di New Delhi, Chennai, Mumbai, Trichy dan Amritsar dan Kerajaan Malaysia mengucapkan penghargaan atas persetujuan pihak MIC dalam memudahcara urusan membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk di India dan Bangladesh baru-baru ini.

Beliau berharap kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan dalam memastikan warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara selamat dibawa pulang ke tanah air.

Tambahnya, proses repatriasi terbabit dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat, selepas dimuktamadkan semua urusan berkaitan tempahan dan kelulusan untuk mendarat dan beliau berharap agar rakyat Malaysia sentiasa tenang, patuh kepada arahan kerajaan tempatan dan berhubung dengan Perwakilan-Perwakilan Malaysia di sana.

Dalam masa yang sama, Dato’ Kamaruddin Jaffar turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi penghargaan kepada Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara serta kedutaan asing di Malaysia yang terlibat secara langsung dalam memastikan proses repatriasi dari luar negara dan keluar dari Malaysia berjalan dengan lancar.

Melalui kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara, Wisma Putra akan berusaha untuk mencari alternatif yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara.

Terdahulu, MIC telah menanggung sebanyak tujuh penerbangan bagi membantu membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di India dan Bangladesh, dan kini bersetuju untuk membiayai 12 lagi penerbangan sewaan khas untuk ke India bagi tujuan yang sama. MIC juga dalam perancangan untuk membiayai penerbangan ke Kathmandu dalam masa terdekat bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

MIC merupakan pertubuhan utama menggerakkan usaha membiayai kos membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments