Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar membabitkan wang RM218 juta.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan pihaknya menarik balik semua pertuduhan terhadap Datuk Rizal, 45 tahun.
Datuk Seri Sri Ram turut memberitahu mahkamah bahawa sepatutnya pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan pada 6 Januari lalu.
“Namun, pihaknya hanya dapat berbuat demikian hari ini,” katanya.
Mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Datuk Rizal dan mengarahkannya yang duduk dalam kandang tertuduh bersama Datin Seri Rosmah, keluar dari tempat itu.
Sebelum ini mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Datuk Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Datin Seri Rosmah dibicarakan bersama.
Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Datin Seri Rosmah memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada Februari depan dilapangkan bagi memberi masa untuk pihaknya meneliti pernyataan saksi berkenaan.
“Kami terkejut dengan keputusan ini (keputusan lepas bebas Rizal) dan perlu mengatur semua strategi pembelaan dan meneliti pernyataan saksi.
“Sehubungan itu, pembelaan memohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Februari dan Mac ini,” katanya.
Namun, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan itu dan mengekalkan 3 Februari bagi memulakan perbicaraan.
Terdahulu, suasana di dalam mahkamah dilihat sedikit tegang apabila Datin Seri Rosmah cuba mendekati seseorang untuk memberitahu sesuatu di galeri awam namun dihalang oleh anak perempuan dan seorang daripada peguamnya.
Memetik laporan Bernama di luar mahkamah, ketika ditanya oleh media berhubung rakaman suara yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Datin Seri Rosmah menjawab: “Perkara itu akan ditangani oleh peguam saya”.
Pada 30 Mei tahun lalu, Mohamed Zaini menetapkan perbicaraan kes solar membabitkan Datin Seri Rosmah dan Datuk Rizal selama 32 hari bermula 3 Februari 2020.
Pada 10 Mei tahun lalu, Datin Seri Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal.
Wang berkenaan adalah sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya pada 20 Dis 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –THE MALAYA POST
*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply