Friday, July 26, 2024
HomePOLITIKTun Razak: 44 tahun meninggalkan kita, namun jasanya di rasai hingga ke...

Tun Razak: 44 tahun meninggalkan kita, namun jasanya di rasai hingga ke hari ini

Ungkapan bijak tentang kepemimpinan memberikan inspirasi dan informasi bahawa sejatinya pemimpin tidak lahir begitu sahaja.

Namun, ada serangkaian proses yang harus dipelajari dan dikembangkan dengan baik sehingga mampu menjadi pemimpin yang hebat.

Bahkan, proses kepemimpinan itu sudah terjadi sejak kita dilahirkan.

Hari ini genaplah 44 Tahun Mantan Perdana Menteri ke 2 Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pulang ke pangkuan Yang Esa, Allah SWT.

 

Di gelar Bapa Pembangunan Malaysia, terlampau banyak jasa-jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abd Razak kepada bumi bertuah ini Malaysia.

Memetik nukilan ringkas dikongsi anakanda Tun Abdul Razak yang juga bekas Menteri ke 6 Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di facebook.

“Ayahanda saya sering cerita kepada beliau kisah-kisahnya dahulu. Zaman kanak-kanak misalnya, ayahanda berkaki ayam ke sekolah bersama kawan-kawannya di Langgar, Pahang”.

“Murid-murid di sekolah ayahanda ramai yang kurang berkemampuan dan tidak mampu membeli peralatan sekolah walaupun sepasang kasut. Hidup orang kampung amat susah dan pahit”, tulis beliau di Facebook.

Yang pasti ujar Dato’ Seri Mohd Najib dari pengalaman hidup beliau dan pengamatannya sepanjang masa, Allahyarham Tun Abdul Razak bertekad membantu orang kampung ketika mampu dan mempunyai jawatan di kerajaan.

“Legasi ayahanda kekal sehingga hari ini. FELDA. Dasar Ekonomi Baru. Dan pesannya kepada saya dahulu juga, satu hari nanti bila berjawatan, berikanlah fokus kepada kehidupan orang kampung juga. Pembangunan luar bandar dan wilayah sentiasa di hati ayahanda”, katanya.

Yang nyata hari ini benar, kita dapat lihat bagaimana hasil usaha kerajaan dahulu membawa manfaat kepada generasi kedua, generasi ketiga.

Untuk rekod, Allahyarham dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada 11 Mac 1922 dan merupakan anak sulung kepada Dato’ Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud.

Allahyarham telah dilantik untuk menggantikan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1971.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota kerajaan, Allahyarham telah banyak menabur sumbangan khasnya dalam pembangunan negara dan luar bandar.

Beliau meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.

Sumbangan dalam pendidikan

Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak telah banyak memberikan sumbangan antaranya dalam bidang pendidikan.

Memetik sumber Arkid Negara, pada tahun 1955, kerajaan perikatan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ketika itu.

Tindakan awal Allahyarham Tun Abdul Razak apabila memegang jawatan berkenaan adalah merombakkan sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah.

Beliau mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak memberi sebarang keuntungan kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu sebaliknya mewujudkan perbezaan ras dalam masyarakat pelbagai kaum.

Hasil usaha Allahyarham Tun Abdul Razak, telah membawa kepada terhasilnya Penyata Razak pada tahun 1956, yang berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa  yang bersatu-padu dengan harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama.

Penyata Razak telah mengemukakan dua elemen penting dalam dasar pendidikan, iaitu sistem persekolahan yang sama untuk semua dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan.

Allahyarham Tun Abdul Razak menganggap bahawa dasar itu mampu menyuburkan semangat perpaduan negara. Penyata Razak kemudiannya dijadikan Ordinan Pelajaran 1957.

Sumbangan dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara

Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri juga turut memegang portfolio Menteri Pertahanan pada tahun 1957.

Allahyarham Tun Abdul Razak telah membawa perubahan kepada angkatan tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan efisyen.

Sebagai bekas anggota askar wataniah, beliau mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga ‘darurat’, iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960.

Allahyarham Tun Abdul Razak juga melancarkan Relawan Rakyat, RELA dan skim Rukun Tetangga untuk menjamin keselamatan rakyat.

Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara.

Majlis Gerakan Negara, MAGERAN ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Beliau telah dilantik oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj iaitu Perdana Menteri ketika itu sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.

Pada tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan di bawah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Kementerian ini telah ditugaskan untuk menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar.

Agensi seperti FELDA  dan  MARA (dahulunya RIDA)  telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggerakkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

Dalam Rancangan Malaya Pertama, kerajaan telah memperuntukkan 44.5% daripada bajet keseluruhan sebanyak RM1100 juta bagi pembangunan ekonomi. Selama 10 tahun memegang potfolio itu, Tun Abdul Razak telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat.

Tun Abdul Razak telah mengumumkan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran di seluruh negara pada 24 Oktober 1960. Rancangan tersebut diadakan untuk menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah sekaligus memajukan tanah tersebut. Tanah-tanah rancangan adalah dibawah pengurusan pihak berkuasa FELDA.

Pada permulaannya terdapat 40 tanah rancangan yang disertai oleh 400 buah keluarga. Pelan pembukaan tanah tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau juga mengumumkan penubuhan FELCRA atau Penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan pada 20 September 1964.  Penubuhan FELCRA adalah sejajar dengan hasrat DEB untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum-kaum di  negara ini. Melalui dasar tersebut, hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan.

Beliau juga bertanggungjawab merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian.

Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar  hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai ‘Buku Merah’.

Sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak  yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Dengan itu, Tun Abdul Razak  melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang mencartakan pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990.

Beliau sedar masyarakat Melayu jauh ketinggalan dalam kemajuan sosio-ekonomi. Oleh itu Allahyarham Tun Abdul Razak Dato’ Hussein berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA.

Rancangan-rancangan ini benar-benar membantu masyarakat Melayu memutuskan rantaian kemiskinan.

‘Dasar Ekonomi Baru’ (DEB) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan identifikasi kegiatan ekonomi    berdasarkan kaum.

Di era Tun Abdul Razaklah bermulanya pelan pembangunan yang menyeluruh dan sistematik yang dikenali dengan ‘Rancangan Pembangunan Malaysia’ lima tahun yang bermula dengan Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua.

Meskipun telah wujud rancangan sebegini sebelum era Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato’ Hussein namun matlamat dan perlaksanaannya tidak secara kolektif dan pragmatik. Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua merupakan pemangkin Dasar Ekonomi Baru (DEB).

DEB mempunyai kerangka waktu 20 tahun dari 1970-1990 merumuskan bahawa ekuiti bumiputera dalam negara harus mencapai 30% di akhir tempoh itu.

Antara institiusi yang paling penting hasil dari DEB ialah ‘ Federal Land Develoment Authority’ (FELDA), suatu badan yang membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat untuk tujuan pembangunan. Program ini sehingga hari ini dikenali sebagai program reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar terbesar getah dan minyak kelapa sawit.

Selain itu terdapat beberapa agensi lain yang ditubuhkan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar ialah Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Justeru bagi memastikan matlamat pembangunan masyarakat luar bandar dapat dilaksanakan, Tun Abdul Razak telah melancarkan Rancangan Buku Hijau pada 20 Disember 1974. Tujuan utama rancangan tersebut ialah untuk menambahkan hasil makanan.

Rancangan ini menghendaki rakyat mengambil bahagian yang lebih cergas dalam sektor ekonomi pertanian. Antara program yang diatur ialah menggalakkan tanaman jangka pendek, iaitu tanaman selingan dan bukan tanaman seperti kacang tanah, sekoi, jagung, ikan air tawar, memelihara kerbau, lembu dan sebagainya.

Sumbangan dalam perpaduan masyarakat

Tun Abdul Razak Dato’ Hussein adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau gemar melawat ke kampung-kampung dan meninjau sendiri permasalahan yang rakyat alami. Di bawah kepemimpinan beliau, Tun Abdul Razak berjaya menghidupkan semangat bergotong-royong dan mengurangkan budaya kolonial di kalangan pentadbir Melayu.

Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Tun Abdul Razak telah melancarkan ‘Rukunegara’ pada 31 Ogos 1970. Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif.

Sumbangan dalam arena politik antarabangsa

Di arena antarabangsa, Tun Abdul Razak juga adalah orangnya yang bertanggungjawab berunding dengan Indonesia untuk menamatkan ‘konfrantasi’ yang dilancarkan oleh negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI).

Allahyarham Tun Abdul Razak Dato’ Hussein juga mewakili Malaysia ke Rundingan Bangkok 1966 dan Rundingan Manila 1963. Allahyarham Tun Abdul Razak juga telah mengadakan beberapa lawatan keamanan ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Demi keselamatan negara dan kestabilan serantau, Tun Abdul Razak telah mengubah dasar luar yang bersifat pro-Barat dan anti komunis kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi.

Hasrat Tun Abdul Razak menjadi kenyataan apabila semua negara ASEAN bersetuju untuk menjadikan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Allahyarham Tun Abdul Razak juga mengiktiraf kewujudan negara China bagi mendapatkan sokongan kuasa besar tersebut terhadap ZOPFAN. Untuk itu, Tun Abdul Razak telah menghantar YM Tengku Razaleigh Hamzah  mengetuai rombongan perdagangan ke China pada bulan  Mei 1971.

Kejayaan dalam bidang perdagangan telah memberi impak kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila China menyokong cadangan mewujudkan ZOPFAN.

Sesungguhnya benar dan nyata jasa dan pengorbanan Allahyarham Bapa Pembangunan Malaysia ini terlampau besar, seorang pemimpin yang bijaksana dan jelas mengutamakan rakyat.

Dunia telah melahirkan orang-orang hebat dan berpengaruh sepanjang sejarah. Dengan latar belakang, agama, keyakinan, budaya yang berbeza-beza.Tetapi meskipun berbeza, ada satu persamaan iaitu membuat dunia ini menjadi tempat yang lebih baik.

Keindahan kehidupan hanya dapat dilihat dan dinikmati bagi orang-orang yang berpandangan baik.

Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal seantero dunia sebagai insan berhati pemurah, marilah kita luangkan sedikit masa membaca dan menghadiahkan surah Al Fatihah buat pemimpin ulung negara ini.

Terima Kasih wahai negarawan ulung Malaysia.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla tidak menerima suatu amal, kecuali jika dikerjakan murni kerana-Nya dan mengharap keredaan-Nya.” (HR An-Nasaei)

Al Fatihah semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan menempatkan roh Allahyarham Tun Abdul Razak dikalangan hamba-hamba yang soleh..Aaaminn ????????????

Laporan oleh Nik Suryani Megat Deraman untuk The Malaya Post.

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments