Friday, July 26, 2024
HomeBERITAIktiraf Kampung Baru Cina ke UNESCO mengkhianati etnisiti dan identiti tamadun Malaysia...

Iktiraf Kampung Baru Cina ke UNESCO mengkhianati etnisiti dan identiti tamadun Malaysia – Murad Merican

Usaha pengiktirafan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah mengkhianati etnisiti dan identiti tamadun Malaysia.

Memetik laporan Ismaweb, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, ia merupakan satu percubaan menukar sejarah Malaysia serta menafikan status peribumi Melayu negara ini.

“Kita mesti faham apa maksud pengiktirafan UNESCO kepada sesuatu tapak itu. Apabila sesuatu tapak itu diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO, ia akan membawa beberapa maksud.

“Pertama tapak itu akan dianggap asli atau asal kepada negara itu. Penduduk di tapak itu akan dianggap sebagai penduduk asal, peribumi atau asli (native).

“Ini akan lama-kelamaan dijadikan bukti dan fakta bahawa penduduk Kampung Baru adalah penduduk asal atau peribumi Malaysia lalu mencabar ‘pemperibumian’ penduduk asal negara ini. Lalu penduduk peribumi akan dilabel sebagai pendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan UNESCO.

Prof Datuk Dr Ahmad Murad berkata, mereka bercita-cita untuk melaksanakan perkara itu dengan bersandarkan contoh kejayaan di Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia diiktiraf UNESCO.

Tindakan itu lama kelamaan akan memberi pengiktirafan kepada kawasan-kawasan itu untuk dikenali sebagai peribumi atau asli kepada Malaysia.

“Ini tidak betul. Orang Melayu adalah ‘the definitive people of Malaysia’. Semua orang (pemimpin) luar apabila tiba di semenanjung akan berjumpa dan berhubung dengan raja serta institusi Melayu. Tidak ada kampung Cina; kampung India; raja Cina atau raja India.

“Dalam segala naratif sejak lebih daripada 2,000 tahun, identiti Melayu disebut sebagai pasak di semenanjung dan Kepulauan Melayu,” katanya.

Ditanya mengenai kampung yang selayaknya mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia, beliau berkata, ia sepatutnya tapak yang bertunjangkan kepada keperibumian orang, masyarakat atau artifak.

“Bukan hanya Kampung Baru di Kuala Lumpur tetapi juga kampung-kampung Melayu lama yang berusia lebih daripada 300 tahun, bukan kampung bermentalitikan pendatang yang tidak sampai 80 tahun. Ini semua inisiatif mengarut dan biadab.

“Sedangkan Barack Obama dan Rishi Sunak pun tidak pernah minta status warisan UNESCO untuk kaum mereka,” tegasnya.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments