Monday, June 17, 2024
HomeBERITADedah bahan bukti? SPRM telah menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang – Peguam Haniff...

Dedah bahan bukti? SPRM telah menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang – Peguam Haniff Khatri

PETALING JAYA : Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla hari ini membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM kerana mendedahkan secara salah rakaman audio perbualan yang di dakwa membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama beberapa figura lain.

Menurut Tuan Haniff Khatri tindakan itu adalah menyalahi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law).

“Rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguatkuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) ini agar segenap lapisan masyarakat lain seperti para pemimpin politik, pihak korporat, pengamal profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu” ujar Haniff Khatri dalam satu kenyataan media.

“Namun, malangnya pada hari Rabu, 08.01.2020, melalui satu Sidang Akhbar yang disiarkan melalui Video berdurasi 1 jam 13 minit dan 16 saat, dengan penuh dukacita saya nyatakan di sini, bahawa pihak SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya telah mendedahkan kepada awam secara salah akan butiran perkara dan bahan siasatan baru (segar) secara menyalahi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law)”, katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (tengah) ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM hari ini. Turut sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah Pengubahan Wang Haram dan Perlucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin.
SPRM hari ini mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah di peringkat tertinggi.
–foto BERNAMA

Tegas beliau, mengikut undang-undang, mana-mana bahan bukti yang belum atau sedang disiasat tidak boleh sama sekali didedahkan kepada umum oleh mana-mana agensi peguatkuasa undang-undang termasuk SPRM.

“Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak Polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan, kerana ianya boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai”, katanya.

“Secara penuh hormat kepada Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya dan pegawai-pegawai SPRM lain, dan dengan penuh kekesalan dan kesedihan, saya nyatakan bahawa tindakan pendedahan kandungan 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ kepada orang awam pada 08.01.2020 adalah kemungkiran prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) yang sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali”, katanya.

Sebaliknya, ujar beliau, Latheefa Koya sepatutnya mengarahkan pegawai SPRM yang menerima bukti penting berkenaan dengan segera membuat laporan polis dan menyerahkan semua bahan bukti berkenaan kepada agensi terbabit untuk siasatan lanjut.

“Sebaiknya, jika seperti apa yang dikatakan oleh Latheefa Koya bahawa sejumlah 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ telah cuma diterima SPRM daripada pihak awam selepas tahun baru 2020, maka apa yang sepatutnya dilakukan di sisi prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) adalah untuk mengarahkan pegawai SPRM berkenaan dengan serta-merta membuat Laporan Polis dan menyerahkan kesemua bahan yang mengandungi sejumlah 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ untuk siasatan lanjut pihak Polis sahaja, memandangkan pada dasarnya, jika pun ada, kandungannya mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, yang adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM”, katanya.

Semalam, SPRM telah mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah tertinggi membabitkan rakaman perbualan tujuh individu termasuk Datuk Seri Mohd Najib.

Selain Datuk Seri Mohd Najib, perbualan suara itu turut membabitkan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas pegawai khas Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin serta Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.

Ia didedahkan kepada umum dan diperdengarkan kira-kira 45 minit menerusi sidang media oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya di Putrajaya. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments