Ekonomi negara kekal kukuh dengan dasar-dasar responsif, walaupun situasi global semakin mencabar

0

KUALA LUMPUR, 21 September – Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran semenjak pandemik Covid-19 melanda negara terutamanya dari segi memastikan pemulihan ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat, serta kelangsungan perniagaan.

Namun menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,  faktor-faktor seperti ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China, peperangan yang berlarutan di Ukraine, dan fenomena perubahan iklim telah mengganggu rantaian bekalan yang meningkatkan harga komoditi dan makanan.

Lantas menyebabkan tekanan kepada kadar inflasi dan sekuriti makanan di pelbagai negara di dunia, termasuk Malaysia.

“Walaupun pelbagai aspek luaran sangat mencabar sejak awal tahun 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya membantu ekonomi Malaysia pulih, terutamanya sektor-sektor yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

“Pelbagai indikator ekonomi Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan termasuk Pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6% bagi suku keempat 2021, 5.0% pada suku pertama 2022, dan 8.9% bagi suku kedua 2022 (pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara bagi tempoh tersebut). Penurunan kadar pengangguran selama 12 bulan berturut-turut, dengan kadar pengangguran sebanyak 3.7% bagi bulan Julai 2022, berbanding 5.3% pada bulan Mei 2020. Pemulihan pasaran buruh negara dijangka terus mencatat perkembangan positif pada bulan-bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang meningkat sebanyak 12.5% peratus pada Julai 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Katanya jualan bagi sektor pembuatan juga naik 23.8% kepada hampir RM150 bilion. Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit yang meningkat sebanyak 41% kepada RM130.7 bilion pada bulan Julai 2022.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang naik lebih dari 600%, Perdagangan Runcit yang meningkat 37.5%, dan Perdagangan Borong yang naik 20.6%. v. Aktiviti pelancongan menunjukkan perkembangan positif apabila kadar penghunian hotel meningkat sebanyak 53.6% pada suku kedua tahun 2022 berbanding 22.6% pada tahun sebelumnya.

“Jumlah trafik penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB mencatat 20.25 juta bagi separuh pertama tahun ini, peningkatan lebih 600% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Terkini, ketibaan pelancong pada bulan Julai 2022 meningkat lebih dari 17,000% kepada 1.1 juta ketibaan.

“Nilai eksport meningkat sebanyak 48.2% kepada RM141.3 bilion pada bulan Ogos 2022, iaitu peningkatan dua digit selama 13 bulan berturut-turut. Bagi lapan (8) bulan pertama 2022, jumlah eksport telah melebihi RM1 trillion, iaitu jangka masa tersingkat yang pernah dicatatkan bagi melepasi jumlah ini. Secara keseluruhan, perdagangan luar berkembang sebanyak 33.1% kepada RM1.87 trilion bagi lapan (8) bulan pertama tahun ini,” katanya.

Jelas beliau pelaburan asing bersih di pasaran saham negara berjumlah hampir RM8 bilion, serta pelaburan runcit bersih yang melebihi RM2 bilion dari awal tahun sehingga kini.

“Kesemua kejayaan ini turut disumbang oleh dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, dan dasar monetari yang kekal akomodatif. Sehubungan itu, bagi tahun 2022, KDNK Malaysia dijangka akan berkembang lebih baik, iaitu antara 5.3 – 6.3%,” katanya.

Katanya pergerakan nilai ringgit adalah seiring dengan perkembangan ekonomi dan matawang utama dunia.

“Dari segi nilai Ringgit, pergerakannya adalah seiring dengan perkembangan ekonomi dan matawang utama dunia. Jika diimbas kembali. Semasa kemuncak Krisis Kewangan Asia, matawang kita telah jatuh sebanyak 53.8% pada tahun 1997 (dengan kadar terendah antara RM4.73 dan RM4.88 bagi setiap 1 Dolar AS pada 7 Januari 1998), dan 8.5% sehingga hujung Ogos 1998.

“Pada September 1998, Kerajaan pada waktu itu mengambil keputusan untuk menambat Ringgit kepada Dolar AS dengan kadar pertukaran RM3.80 bagi setiap 1 Dolar AS sehinggalah hujung Julai 2005. iii. Pada hujung 1997, Bank Negara telah meningkatkan kadar OPR kepada 11%, dan ini telah kekal pada kadar 7% menjelang hujung 1998.

“Pada waktu itu, ekonomi merudum apabila KDNK menyusut sebanyak 7.4% pada tahun 1998.  Sepanjang krisis tersebut, lebih dari 102,000 rakyat telah kehilangan pekerjaan, manakala kadar inflasi telah melonjak kepada 6.2% pada Jun 1998, sebelum menyederhana kepada 5.3% pada penghujung tahun tersebut,” katanya.

Ujarnya setelah tambatan Ringgit kepada Dolar AS dilepaskan, nilai Ringgit terus bergerak seiring dengan pergerakan pasaran yang dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi dunia serta prestasi rakan dagangan utama negara.

“Berbanding tahun 1997 dan 1998, berdasarkan indikator ekonomi yang telah dicapai, jelas sekali negara kini tidak berada di dalam situasi krisis kewangan mahupun ekonomi. Pada masa ini, Kerajaan melalui BNM tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada Dolar AS kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar. Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

“Jika Ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS. Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.

Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia. Walaupun Ringgit telah menurun sebanyak 8.7% berbanding dolar AS sejak awal tahun 2022, pelbagai matawang lain juga merosot dengan kadar yang lebih ketara,” katanya.

Tambahnya secara ringkas, pengukuhan meluas Dolar AS merupakan faktor utama yang telah mempengaruhi pergerakan pertukaran asing global dan serantau antara pendorong penting kepada situasi ini.

Ia termasuklah kenaikan kadar faedah yang besar serta agresif oleh Rizab Persekutuan AS secara kumulatif sebanyak 225 mata asas setakat 20 September 2022.

“Kadar faedah AS dijangka meningkat lagi antara 75 atau 100 mata asas semasa mesyuarat seterusnya pada 21 September 2022 bagi membendung inflasi di AS yang terus meningkat. Pulangan yang lebih tinggi bagi aset dalam dolar AS akan menjana permintaan yang lebih tinggi terhadap aset tersebut dalam kalangan pelabur global. Ini telah menggugat sentimen di pasaran dan kalangan pelabur yang seterusnya bertindak untuk menyusun semula portfolio pelaburan mereka dalam aset selamat (safe haven assets) dan instrumen kewangan dalam Dolar AS.

“Sudah pastinya kebanyakan mata wang dunia akan terus melemah berbanding Dolar AS akibat daripada situasi ini. 9. Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan satu dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran bagi menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

Ujar Datuk Seri Utama Tengku Zafrul, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan bagi memastikan kestabilan nilai Ringgit.

Katanya pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

Setakat ini, inflasi kekal terkawal dengan kadar 4.4% pada Julai 2022.

“Bagi tujuh (7) bulan pertama tahun ini, inflasi adalah 2.8%, antara kadar yang terendah di dunia disebabkan oleh bantuan subsidi berjumlah hampir RM80 bilion bagi menampung, antara lainnya, kawalan harga pelbagai barangan asas, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah ditambah baik dan subsidi petrol. Tanpa pemberian subsidi kepenggunaan berkaitan, kadar inflasi negara dianggar meningkat antara 11 hingga 12%. 12.

“Sehingga kini, Kerajaan telah meningkatkan keperluan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial kepada hampir RM80 bilion, lebih tinggi berbanding peruntukan asal Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Ini termasuklah menyediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai langsung BKM dengan peruntukan RM8.2 bilion bagi tahun 2022.

“Akses mudah kepada barangan keperluan melalui diskaun Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di 600 DUN dan 13 parlimen seluruh negara. Penstabilan harga makanan utama seperti ayam, telur dan minyak masak, serta harga bahan api melalui pemberian subsidi RON95 dan elektrik,” katanya.

Ujar beliau walaupun indikator ekonomi membuktikan bahawa kita berjaya bangkit daripada impak pandemik COVID-19 dan membendung inflasi, persekitaran luaran global semasa telah menjadi lebih tidak menentu.

“Oleh sebab itu, suku keempat 2022 dan tahun 2023 dijangka lebih mencabar kerana prospek ekonomi global bakal melembap, ekoran ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang telah menjejaskan bekalan rantaian dunia.

“Malah, akibat dasar konservatif tersebut, Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menurunkan unjuran KDNK China kepada 3.3% bagi tahun 2022, kadar terendah berbanding negara membangun Asia yang lain buat pertama kali semenjak 30 tahun yang lalu. Faktor perubahan iklim juga dijangka akan mengganggu produktiviti pengeluar makanan utama seperti India, lantas meyumbang kepada peningkatan harga komoditi dan makanan.

“Faktor-faktor ini akan terus memberi tekanan kepada kadar inflasi dan sekuriti makanan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sehubungan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2023 daripada 3.8% pada Januari 2022 kepada kepada 2.9% pada Julai 2022. IMF juga telah meningkatkan kadar unjuran inflasi mereka sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 9.5% bagi negara membangun, dan 0.9 mata peratusan kepada 6.6% bagi bagi negara maju.

Katanya kesemua faktor-faktor ini juga akan memberi impak kepada unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2023, yang dijangka akan lebih rendah dari tahun 2022.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka di mana jumlah perdangangan melebihi 120% daripada KDNK, Kerajaan akan terus proaktif bagi mempersiapkan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

“Sehubungan itu, sejak pandemik bermula, Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan (MOF) sedar betapa pentingnya pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan lestari dan telahpun memulakan inisiatif seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial; menangani isu pengangguran di kalangan belia, dan pelaksanaan upah minima.

“Walaubagaimanapun, isu-isu struktur yang telah bertapak berdekad lamanya ini akan mengambil masa untuk ditangani, bukan dalam sekelip mata. Kadar perbelanjaan yang tinggi bagi melindungi nyawa dan kesihatan awam, serta sokongan perniagaan semasa pandemik juga menuntut kita untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara juga bagi mengatasi isu-isu struktur ini,” katanya.

Yang pasti katanya Bajet 2023 juga akan terus mengutamakan agenda pembaharuan struktur bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan daya tahan rakyat dan perniagaan terhadap sebarang kejutan pada masa depan, terutamanya cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius dan berterusan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply