Liz Truss letak jawatan PM selepas 45 hari, rakyat UK desak pilihanraya umum disegerakan

0

LONDON – Perdana Menteri Britain, Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan selepas hanya enam minggu berkhidmat.

Truss akhirnya terpaksa akur untuk berundur selepas strategi pemotongan cukainya mendapat tentangan serta mencetuskan keadaan pecah belah dalam kalangan ramai Ahli Parlimen Konservatif.

Bercakap di Downing Street, Truss berkata, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggantinya dipilih untuk memimpin parti tersebut.

“Kami telah bersetuju bahawa pemilihan kepimpinan akan diselesaikan dalam tempoh minggu depan.

“Kita akan memastikan bahawa kita kekal pada landasan yang betul untuk menyampaikan pelan fiskal serta mengekalkan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara.

“Saya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pengganti dipilih,” katanya.

Kemuncak kepada kemelut politik Truss sebagai Perdana Menteri tercetus selepas seorang menteri kanan meletak jawatan di samping ahli-ahli Parlimen Parti Konservatif yang memberontak semasa satu undian penting dalam suasana huru-hara di Dewan Rakyat lewat semalam.

Menjelang pagi hari ini, lebih 12 Ahli Parlimen Konservatif secara terbuka mendesak Truss meletak jawatan berikutan pelan pemotongan cukai diumumkan beliau sebelum ini, yang telah mencetuskan kejutan pasaran ketika rakyat Britain bergelut dengan kos sara hidup.

Sementara itu, proses undian untuk memilih pemimpin baharu Parti Konservatif dijadual berlangsung menjelang 20 Oktober, kata pegawai.

“Adalah mungkin untuk menjalankan undian dan memuktamadkan pemilihan kepimpinan menjelang Jumaat, 28 Oktober.

“Ini bermaksud kita akan mempunyai Perdana Menteri baharu sebelum kenyataan fiskal yang akan diumumkan pada 31 Oktober ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa 1922, Graham Brady kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ketua pembangkang UK Keir Starmer pada Khamis menuntut pilihan raya umum segera selepas Perdana Menteri Liz Truss mengumumkan peletakan jawatannya selepas hanya enam minggu dilantik.

“The Tories tidak lagi boleh menyelesaikan kekacauan terbaru mereka dengan sekali lagi mengadakan pemilihan jawatan PM melalui pemilihan parti tanpa persetujuan rakyat British. Kami memerlukan pilihan raya umum sekarang,” kata pemimpin parti Buruh itu.

Sebuah petisyen yang dianjurkan di laman web Kerajaan dan Parlimen UK menyeru diadakan pilihan raya umum. Petisyen itu ini telah mendapat 664,650 tandatangan. “Adakan pilihan raya umum segera supaya rakyat boleh memutuskan siapa yang harus memimpin kita melalui krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang mengancam UK,” petisyen itu menyatakan.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply