MENGAKU CEDERAKAN PEKERJA BANGLADESH DAN HALANG TUGAS POLIS, PENYANYI DIDENDA RM2800

AMPANG 30 Ogos 2019 : Mahkamah Majistret Ampang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2800 terhadap Penyanyi dan komposer, Zynakal atas dua pertuduhan kerana mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas, Rabu lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli , 21 selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, Zynakal dijatuhi hukuman denda RM800 dan bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM2,000.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Terbang’, kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Zynakal didakwa mendatangkan kecederaan terhadap warga Bangladesh, Ahmad Mostak, di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang jam 3 petang 28 Ogos lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Zynakal turut didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis dengan tidak menunjukkan kad pengenalannya bagi tujuan pemeriksaan, di tempat sama, jam 3.30 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah, dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.