Selar menteri, persatuan gesa Awesome TV mohon maaf

0

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Empat persatuan perfileman utama menggesa Awesome TV memohon maaf kepada Fahmi Fadzil atas reaksi yang disifatkan biadab terhadap teguran Menteri Komunikasi dan Digital itu mengenai kelewatan stesen itu menyelesaikan pembayaran kepada pembekal program.

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dalam kenyataan berasingan bersetuju bahawa sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap kelangsungan industri perfileman, Fahmi berhak menegur apa yang boleh dianggap sebagai salah laku dan tindakan yang membelakangkan kebajikan penggiat industri.

Presiden PFM, Pansha berkata pelbagai isu dan konflik berkaitan Awesome TV masih belum dapat diselesaikan terutamanya berkaitan pembayaran kepada penerbit dan penggiat seni.

“PFM memandang serius pemasalahan ini dan kami difahamkan ramai dalam kalangan penerbit dan penggiat seni kecewa dengan keputusan Awesome TV. Walaupun telah acap kali membuat rundingan dengan Awesome TV, namun tidak mencapai penyelesaian.

“Mengheret penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar bukanlah satu penyelesaian yang bijak, baik dan jujur. Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim pula berkata reaksi Awesome TV terhadap teguran ikhlas menteri seperti yang dilaporkan media itu tidak beretika dan membelakangkan budi bahasa.
“Stesen itu harus maklum bahawa stesen TV swasta terletak bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 jelas menyatakan bahawa kuasa penentu adalah budi bicara menteri. Justeru FDAM berpandangan kenyataan Awesome TV sangat mengecewakan,” katanya.

Ahmad menyarankan agar pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi atas kebiadaban mereka.

“Kami juga khuatir perkara ini dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi pula berkata kenyataan Awesome TV itu bukan sekadar menyinggung perasaan menteri malah seluruh penggiat seni tempatan.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai mencabar kesabaran dan sentimen anak-anak seni tempatan.

“Kenyataan itu meningkatkan lagi kemarahan anak seni terhadap stesen itu. Secara moralnya kenyataan itu seolah-olah sengaja dibuat untuk memalukan menteri dan mencabar kewibawaan beliau,” katanya.

Presiden SENIMAN itu menyarankan agar Awesome TV serta vendor lantikan stesen itu dapat berjumpa secara terus dengan menteri untuk meleraikan permasalahan dalaman mereka secara beradab khususnya aspek penyiaran atau penerbitan program.

“Masalah berkaitan pembayaran kepada penerbit dan penggiat seni juga secara langsung memberi kesan kepada pelakon-pelakon tempatan jika tidak diselesaikan,” katanya.

Presiden PROFIMA, Khalil Hj. Salleh berkata persatuannya berpengalaman menguruskan masalah para pekerja belakang tabir termasuk kelewatan pembayaran daripada penerbit yang berurusan dengan Awesome TV.

“Apabila penerbit terkesan dengan kelewatan pembayaran akibat stesen tidak mematuhi perjanjian awal, ini akan membebankan pekerja belakang tabir yang telah menyelesaikan tugas. Kami menyokong penuh campur tangan Menteri KKD terhadap permasalahan industri ini,” katanya.

Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran menteri, tambahnya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply