AMPANG, 1 Jun – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata penamatan perkhidmatannya secara notis 24 jam agak memeranjatkan sebab beliau tidak pernah dimaklumkan apa-apa salah laku serta tidak dipanggil untuk membela diri ataupun memperjelaskan apa-apa isu.
Katanya sepanjang pengalamannya sebagai penjawat awam lebih daripada 30 tahun, kebiasaannya tindakan menamatkan perkhidmatan dengan notis 24 jam adalah disebabkan oleh kesalahan jenayah ataupun terdapat isu integriti.
“Penamatan perkhidmatan saya ini dianggap sesuatu yang tidak selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kepada usaha secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah,” katanya pada sidang media yang dihadiri lebih 30 wakil media cetak dan penyiaran di sebuah hotel di sini hari ini.
Md. Nasir berkata sejak menggalas tanggung jawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS pada 1 November 2021, beliau telah berjaya menarik penerbit luar dan tempatan melalui program Film in Malaysia Incentive (FIMI) dengan pelaburan bernilai kira-kira RM1.04 bilion.
“Ini satu pencapaian yang belum pernah dicapai sebelum ini. Saya juga berjaya menstrukturkan semula pembahagian peratus pungutan tiket antara pempamer dan penerbit filem. Begitu juga dengan pasaran filem ke luar negara, khususnya negara China,” katanya.
Beliau berkata usaha-usaha memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan penuh integriti, bertanggung jawab, dan berkesan turut menjadi keutamaan selaras dengan hala tuju Plan Strategik FINAS 2022-2027.
“Ketirisan dana dan penyalahgunaan kuasa menjadi fokus saya. Misalnya, kegagalan projek dari tahun 2015 hingga tahun 2019 oleh 47 syarikat dan individu yang bernilai kira-kira RM22 juta perlu disiasat dengan terperinci,” katanya sambil menyeru SPRM menyiasat punca berlakunya ketirisan dana itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Wang cukai rakyat perlu dikembalikan dan sewajarnya semua penerima dana memanfaatkan dana yang diterima untuk menghasilkan filem yang berkualiti tinggi. Saya boleh berbangga kerana sepanjang saya memimpin FINAS, tidak ada satupun penerima dana yang gagal menyiapkan projek mereka, tidak ada kronisme, dan isu grantopreneur juga dapat diatasi,” tambahnya.
Md. Nasir menerima notis penamatan perkhidmatan daripada Pengerusi FINAS, Datuk Mohd. Kamil Othman petang semalam walaupun kontrak perkhidmatannya berakhir pada 31 Oktober tahun ini.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply