Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua yang terpilih untuk sentiasa bekerja dengan penuh dedikasi dan menjalankan amanah seikhlas hati dalam melaksanakan hasrat ahli parti di seluruh negara untuk melihat UMNO kembali kukuh.
Jelas beliau, sebarang ujian dan cabaran yang datang dalam melaksanakan tanggungjawab akan dapat ditempuh sekiranya dilakukan bersama sekaligus menghasilkan sebuah output yang memberikan kelebihan kepada ahli parti khususnya rakyat.
“Kita mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkuat parti, walaupun kita sedang melalui senario politik yang mencabar.
“Bekerjalah dengan penuh dedikasi dan jalankan amanah yang telah diberikan dengan seikhlas hati untuk mencari keredhaan Allah SWT serta melaksanakan hasrat ahli parti di seluruh negara.
“Setiap tanggungjawab ini pasti datangnya dengan ujian dan cabaran yang berbeza. Tetapi sekiranya ujian ini dilakukan bersama, InsyaAllah kita akan menghasilkan sebuah output yang akan memberikan kelebihan bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi rakyat secara keseluruhannya,” menerusi hantaran yang dikongsi di Facebooknya semalam.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka yang akan memimpin organisasi Wanita, Pemuda dan Puteri ini bagi meneruskan legasi perjuangan menjunjung martabat agama, bangsa dan negara.
“Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 27)
“Selamat bertugas dan semoga berjaya buat semua”, katanya.
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama Ketua Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Pergerakan UMNO, Dr Mohd Akmal Salleh, Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan naib-naibnya.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost